*Credits di akhir post ini
Bernama melaporkan Sultan Azlan Shah tidak memberi restu bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri. Sebaliknya Baginda menitahkan Mohd Nizar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.
Memetik kenyataan Pejabat Sultan, Bernama berkata jika Mohd Nizar gagal berbuat demikian, jawatan itu akan dianggap kosong.
APA PUN yang terjadi dan akan terjadi dalam jangka masa singkat ini, hakikat yang terpaksa diterima ialah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak yang berusia tidak sampai setahun telah roboh.
Empat Adunnya iaitu tiga daripada parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) dan seorang daripada DAP telah belot dan mengisytiharkan menyokong Barisan Nasional.
Mereka adalah YB (Yang Bangsat)Jamaluddin Mohd Razdi (PKR-Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering), Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) dan Nasaruddin Hashim (BN-Bota yang melompat ke PKR 10 hari lalu).
Melainkan mereka berubah hati dan merangkak pulang semula ke pangkuan PKR atau empat orang Adun BN pula belot dan memberi sokongan kepada PR, riwayat PR di Perak boleh dikira berakhir.
Sila klik topik di atas atau "Full Post" di bawah untuk membaca dengan lebih lanjut.
Malah itulah “pengakuan” Menteri Besarnya, Mohammad Nizar Jamaluddin, apabila dia menyembah Sultan Perak hari ini dan menasihatkan Baginda agar membubarkan Dewan Undangan Negeri. Dalam erti kata yang lain, dia mengaku bahawa PR tidak lagi mempunyai bilangan ahli mencukupi untuk terus memerintah.
Dan seperti kata Mohd Nizar, sekarang terpulanglah kepada Tuanku. Apa pun keputusan Baginda, Kerajaan PR Perak sudah menjadi sejarah, sekurang-kurangnya buat sementara waktu ini.
Dan tuduhan ketua de fakto PR, Anwar Ibrahim, bahawa BN cuba menubuhkan kerajaan di Perak dengan apa cara pun – by hook or by crook – seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Perancis, AFP, tidak lagi bermakna.
Malah hujah beliau bahawa dia dan pakatannya sedang berusaha membubarkan Dewan Undangan Negeri dan memanggil pilihan raya bagi mendapatkan mandat baru daripada rakyat jelata juga sudah tidak meyakinkan lagi.
Kurang dua minggu lalu apabila Nasaruddin belot dan melompat menyertai PKR, Anwar tidak pula mengatakan perlu kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baru. Malah dia berkata ramai lagi akan menyertai partinya.
Bukan itu saja, sepanjang masa dia mengusik dan mengasak untuk menumbangkan Kerajaan BN melalui pembelotan Ahli Parlimen BN, dia tidak sedikit pun menghiraukan mandat yang pengundi berikan kepada BN.
Yang tragik bukan sangat pembelotan oleh Adun PKR dan DAP itu, tetapi implikasi tindakan mereka ke atas pengundi yang menaruh sepenuh harapan kepada PR sebagai pengganti BN.
Pembelotan mereka itu juga akan menimbulkan tanda tanya mengenai keutuhan dan integriti PKR sebagai pemangkin gerakan pembangkang.
Lagipun, tidak kira apa jua tuduhan dan selaran yang Anwar dan penyokongnya buat terhadap BN, mereka terpaksa akui bahawa bertepuk tidak boleh hanya sebelah tangan.
Kalau Adun PKR dan DAP itu teguh integritinya dan komited kepada perjuangan serta kepemimpinan parti masing-masing, tidak ada sogokan atau rayuan daripada BN boleh mengubah pendirian mereka.
Sama ada mereka orang yang tidak berintegriti atau mereka tidak lagi yakin dengan perjuangan serta kepemimpinan PKR dan DAP, hakikatnya mereka telah berpaling tadah.
Kalau maruah, integriti dan keadilan penting kepada Adun yang terlibat itu, mereka tidak perlu menunggu arahan sesiapa untuk mengosongkan kerusi masing-masing dan mengembalikan mandat kepada rakyat.
Betullah yang dipilih itu calon (manusia) dan bukan parti. Tetapi mereka bertanding sebagai calon kepada parti. Pengundi memilih mereka atas dasar parti. Melainkanlah mereka calon bebas.
Kalau mereka calon bebas sekali pun, mereka masih terikat kepada mandat pengundi apabila mereka hendak menyertai mana-mana parti.
BN pun tidaklah boleh terlalu gembira dan yakin sekalipun mempunyai bilangan yang cukup untuk mengambil alih kerajaan Perak.
Kalau tiga Adun PR itu boleh belot kepada parti masing-masing dan Adun Umno dari Bota sendiri boleh cabut seketika untuk bersekedudukan dengan PKR, apa jaminan bahawa mereka tidak akan belot kepada BN.
Lagipun, sebagai Adun bebas mereka tidak semestinya bersama BN sepanjang masa dan dalam semua isu.
Satu lagi cabaran kepada BN ialah memilih bakal Menteri Besar bagi mengambil tempat yang dulunya disandang oleh Tajol Rosli Ghazali.
Eloklah Umno mengambil kesempatan ini bagi memulakan proses restorasi dan penyegaran kepemimpinan dengan memilih orang baru yang lebih muda dan berpotensi.
Credits to A Kadir Jasin
06 February 2009
IMPAK KEJATUHAN KERAJAAN PERAK
advertensi
PENAFIAN (DISCLAIMER)
Nama artis/selebriti/kenamaan/insan yang disebut dalam webblog ini adalah cadangan semata-mata & gossip tidak semestinya benar. Anda dinasihatkan untuk membuat pertimbangan yang rasional.
Kerenah Dunia juga tidak mempunyai sebarang niat untuk mendapat keuntungan daripada infomasi berkenaan ataupun cuba mencabul hak milik mana-mana pihak.
Bagi program mencari pendapatan sampingan pula, laman-laman web yang terbabit hanyalah cadangan semata-mata. Pihak Kerenah Dunia tidak akan bertanggungjawab atas tindakan dan juga kerugian yang berlaku disebabkan kegagalan daripada program yang disertai. Setiap pelaburan sama ada atas talian (online) atau tiada talian (offline) adalah risiko perdagangan dan Kerenah Dunia tidak akan bertanggungjawab untuk itu.
|