Produk Terhangat! Dapatkannya Sekarang!

04 June 2008

LONG KHONG 2 (a.k.a. ART OF THE DEVIL 3)




Salam sejahtera para pembaca, saya ingin berkongsi pengalaman menonton filem ini semalam. Ramai peminat Long Khong akan mengharapkan apa yang akan berlaku selepas Long Khong 1. Walaubagaimanapun, para penonton akan di bawa kepada peristiwa sebelum Long Khong 1, dengan lain perkataan, Long Khong 2 adalah prequel kepada Long Khong 1. Sepertimana filem sebelumnya, pendekatan ilmu hitam iaitu penyeruan syaitan, mantera dan juga unsur-unsur voodoo diterapkan dalam cerita ini. Bagi kanak-kanak, bimbingan ibubapa amatlah diperlukan. Pesakit jantung serta ibu-ibu mengandung amatlah dinasihatkan agar tidak menonton filem ini.


Siri kali ini mengisahkan seorang guru yang cantik tetapi penuh dengan dendam kesumat yang bernama Panor (dilakonkan oleh Napakpapah Nakprasit) , yang mana telah disihir dan disiksa oleh sebuah keluarga bagi mengembalikan roh orang yang tersayang. Roh Panor diumpan keluar bagi menggantikannya dengan roh salah seorang ahli keluarga terbabit yang telah mati manakala roh Panor di kurung di dalam sebuah cermin yang di jampi bagi mengurung roh Panor buat selama-lamanya. Di pendekkan cerita, atas kecuaian manusia, roh Panor berjaya kembali ke jasadnya semula dan bakal memulakan kisah tragis bagi keluarga yang telah menyihirnya.

Watak tambahan di dalam cerita ini ialah Sarjan Dit (lakonan Suppakorn Kitsuwan), rakan bomoh yang telah di bunuh di dalam Long Khong 1 (yang Panor tikam dari bawah tu). Sarjan Dit merupakan pengamal ilmu hitam yang telah mengalami ilmu makan diri. Untuk mengatasi penderitaannya itu, dia perlu memburu Syaitan Bermata Tiga yang berada di dalam jasad Panor. Dengan memperolehi kuasa Syaitan tersebut, dia akan mendapat kuasa yang tidak terkalahkan dan mahir dalam semua jenis ilmu hitam

Pada pendapat saya, peranan para pelakon adalah amat penting bagi menghidupkan filem ini, watak yang dibawa mereka amat berkesan. Terutamanya semasa babak penyiksaan Panor bermula, bunyi jeritan, tangisan, bunyi percikan darah, daging yang di siat-siat dan cara penyiksaan amat memberi kesan kepada saya.

Dari segi plot, bagi saya majoritinya mirip dengan Long Khong 1 - orang balas dendam, dera orang, bunyi jeritan. Kadang-kadang plotnya agak berbelit-belit, menkonfius kan saya samaada ini adalah filem prequel ataupun sequel. Kadang-kadang ada babak yang tergantung, contohnya, ayah Ta yang ingin berkahwin dua, sanggup membunuh isteri pertamanya untuk berkahwin dengan Panor walaupun telah mendapat keizinan ibunya (nenek Ta) adalah sesuatu yang tergantung.

Kesimpulannya, pada pendapat saya, Long Khong 1 adalah lebih baik daripada Long Khong 2. Jalan ceritanya adalah lebih kurang sama. Walaubagaimanapun, sekiranya anda ingin mengetahui sejarah penderitaan Panor, anda di sarankan menonton filem ini. Dari 5 bintang, saya bagi 3 bintang (berbaloi kalau tengok).

Mengenai Produksi

Long Khong 2 telah diterbitkan oleh Five Star Production dan diedarkan di Malaysia oleh Grand Brilliance Sdn Bhd. Filem tersebut diarahkan dan diterbitkan bersama oleh Ronin Team, yang telah menghasilkan Art of the Devil 1 & 2 yang telah meraih kejayaan di seluruh dunia. Kumpulan ini dianggotai oleh Kongkiat Komesiri, Yossapong Phonsup, Puttipong Saisrikaew, Issara Nadee, Seree Phongnithi, Pasit Buranachan serta Aht Tramtragoon.

Filem ini ditulis oleh dua penulis skrip kumpulan berkenaan, Kongkiat Komesiri dan Yossapong Phonsup, yang telah membuktikan kebolehan mereka dalam penulisan skrip bagi banyak filem Thai. Pasit Buranachan ditugaskan untuk mengarahkan persembahan bersama-sama dengan Aht Tramtragoon. Rekaan produksi oleh Issara Nadee.

Menyentuh mengenai para pelakon, Napakpapah Nakprasit, Namo Tonggumnerd dan Sommart Praihiran dari filem asal, kembali memegang peranan masing-masing. Filem ini juga membariskan Suppakom Kitsuwan sebagai Sarjan Dit, seorang lelaki yang taksub dengan ilmu hitam. Penyanyi seksi Calorine Supalak Nemayothin turut mempamerkan lakonan sulungnya di sini. Pelakon-pelakon terkenal lain di dalam filem ini termasuk Paweena Sharifsakul, Theerayuth Prachyabamrung, Attakorn Suwanrat, Riamkham Samin serta Wattana Sapakit.

Aphiradee Iamphungphorn, Penerbit Eksekutif Five Star berkata, “Art of the Devil adalah salah satu dari francais kami yang paling laris, di Thailand dan juga pasaran antarabangsa. Kerana itu kami melihat satu lagi lanjutan filem yang berpotensi. Sudah tentu, yang menjadi sorotannya adalah babak-babak ngeri dan pertarungan kuasa ilmu hitam dalam filem. Plotnya juga penuh dengan kejutan – para penonton tidak akan dapat mengagak ke mana arah cerita ini seterusnya. Ianya lebih menarik dari filem-filem sebelumnya.”



Pasit Buranachan, yang bertanggungjawab dalam pengarahan persembahan, bercakap mengenai peranan utama, Panor. “Panor memaparkan tentang seorang wanita yang telah menjadi mangsa keadaan. Inti cerita ini sangat berkaitan dengan perkara-perkara buruk akibat dari nafsu berahi kaum lelaki yang tiada tepinya. Kisah hidup Panor sangat menarik kerana dia seorang mangsa keadaan yang terpaksa menjadi pembunuh. Kami berhasrat untuk mengikuti kisahnya kerana kami ingin tahu mengapa beliau terpaksa melalui karma yang sangat malang. Di dalam babak-babak ngeri, kami bergantung sepenuhnya kepada aksi langsung – bermakna kami cuba berfikir seperti seorang ahli sihir dan bukannya seperti seorang pakar kesan komputer. Filem ini menggunakan hanya sedikit kesan digital, kerana kami mahu setiap babak kelihatan realistik.”

Sebarang filem seram voodoo bergantung kepada kesan rekaan produksi bagi melahirkan rasa ngeri yang amat tinggi. Pengarah tersebut berkata lagi, “Kami mereka babak-babak seram dengan memesongkan aktiviti-aktiviti biasa kepada sesuatu yang jahat dan melanggar tatasusila. Sebagai contoh, terdapat satu babak mencabut paku di dalam filem asal. Sesiapa sahaja akan rasa dekat dengan situasi ini kerana kita semua biasa memaku dan sebenarnya terdapat ancaman terhadap perkara yang mudah ini. Itulah caranya kami cuba menimbulkan rasa bimbang di hati para penonton. Kami fokus kepada perasaan realistik, walaupun di dalam babak-babak melibatkan ilmu hitam.”

PersianPTC.com
AriaPTC.com

RAHSIA EBAY

advertensi

PENAFIAN (DISCLAIMER)

Gambar & informasi hak milik pihak tertentu yang terdapat dalam webblog ini telah digunakan dengan memberi kredit untuk tujuan pengenalan sahaja. Kerenah Dunia tidak mempunyai apa-apa hubungan atau menandatangani sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak selain jika dinyatakan.

Nama artis/selebriti/kenamaan/insan yang disebut dalam webblog ini adalah cadangan semata-mata & gossip tidak semestinya benar. Anda dinasihatkan untuk membuat pertimbangan yang rasional.

Kerenah Dunia juga tidak mempunyai sebarang niat untuk mendapat keuntungan daripada infomasi berkenaan ataupun cuba mencabul hak milik mana-mana pihak.

Bagi program mencari pendapatan sampingan pula, laman-laman web yang terbabit hanyalah cadangan semata-mata. Pihak Kerenah Dunia tidak akan bertanggungjawab atas tindakan dan juga kerugian yang berlaku disebabkan kegagalan daripada program yang disertai. Setiap pelaburan sama ada atas talian (online) atau tiada talian (offline) adalah risiko perdagangan dan Kerenah Dunia tidak akan bertanggungjawab untuk itu.